Langkah utama untuk
menghindari penyakit bawaan makanan dan keracunan makanan adalah dengan
melindungi makanan daripada tercemar oleh kuman-kuman patogens yang boleh
menyebabkan penyakit. Sebagai panduan asas, beberapa perkara berikut boleh
dilakukan untuk mengelakkan makanan dari tercemar.
Pemilihan bahan
mentah
Pemilihan bahan mentah berkualiti dan selamat haruslah diutamakan. Bahan-bahan
mentah seperti telur, ayam, daging, ikan, sayur-sayuran dan susu amat mudah
tercemar oleh kuman. Bahan-bahan mentah ini perlulah dipilih dengan teliti
dengan mengelakkan daripada membeli bahan mentah yang disimpan atau dikendalikan dengan cara yang tidak bersih ataupun bercampur
dengan bahan-bahan kimia ataupun bahanbahan bukan makanan. Pastikan bahan segar
seperti daging, ikan dan ayam berada pada suhu sejuk.
Bagi makanan yang
akan dimakan mentah seperti timun, salad serta ulam-ulaman ianya perlulah
dibasuh dengan sempurna sebelum dimakan. Elakkan menggunakan air yang sama
berulangkali untuk mencuci sayur-sayuran ini walaupun cara tersebut dapat menjimatkan air.
Penyimpanan bahan mentah
Pastikan bahan
mentah yang perlu disimpan lama seperti ayam, ikan dan daging disimpan pada
suhu sejuk beku. Penyimpanan dalam suhu sejuk beku yang sempurna dapat menahan
pertumbuhan bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan.
Memasak makanan
Proses ini amat
penting untuk mengelakkan kes keracunan makanan dari berlaku. Proses memasak
bukan hanya bertujuan menambahkan kelazatan, lebih mudah dimakan tetapi juga
bertujuan membunuh bakteria yang terdapat dalam makanan tersebut. Umumnya,
memasak pada suhu didih (100 darjah celsius) pada jangkamasa 5-10 minit adalah
cukup untuk membunuh bakteria.
Penggunaan haba
basah seperti kukus dan rebus adalah berkesan berbanding dengan haba kering seperti penggunaan oven untuk membunuh bakteria. Walau bagaimanapun, bahan-bahan kimia dan
toksin adalah stabil dan tidak musnah melalui proses memasak.
Menyimpan makanan sudah masak
Makanan yang telah
dimasak dan disimpan lama pada suhu biasa (suhu bilik) akan memberikan keadaan yang amat sesuai bagi pertumbuhan bakteria. Keadaan ini akan
menyebabkan makanan menjadi rosak dan basi.
Bagi mengelakkan
keadaan ini, makanan perlu disimpan di tempat yang bersih dan tertutup, serta
tidak disimpan bersama dengan bahan mentah yang mengelakkan pencemaran silang
dan tidak terdedah kepada agen-agen pembawa bakteria seperti lalat dan lipas.
Memanas kembali makanan
Kaedah ini adalah
amat penting kerana ia dapat membunuh bakteria yang mungkin telah mencemari
makanan yang disimpan. Bagaimanapun, kaedah ini hanya akan berfaedah jika pemanasan
dilakukan hingga kepada suhu yang diperlukan dan rata kepada semua bahagian
makanan. Suhu yang disyorkan adalah sekurang-kurangnya 70 darjah celcius selama 5-10 minit. Pemanasan yang berulang-ulang kali
adalah tidak digalakkan.
Masak air minuman
Air minuman perlu
dimasak terlebih dahulu. Bagi kawasan yang mengalami gangguan air paip,
pastikan bekalan air daripada tangki-tangki yang dihantar oleh Pihak Berkuasa
Bekalan Air ke rumah-rumah ditadah, dibiarkan seketika sehingga ampaian atau
habuk-habuk yang terdapat di dalam air termendap ke bawah sebelum dimasak dan
diminum. Pastikan jumlah air yang diminum mencukupi iaitu sekurang-kurangnya
6-8 gelas sehari bagi mencegah tubuh mengalami dehidrasi. Keadaan dehidrasi
boleh mnyebabkan penurunan tahap ketahanan (imuniti) tubuh terhadap sesuatu
penyakit. Ibu bapa perlu memberi tumpuan kepada anak-anak kerana mereka adalah
golongan yang mudah diserang demam, batuk serta selesema kerana daya tahan
tubuh yang rendah.
Selalu cuci tangan
Pastikan tangan
bersih setiap kali hendak menyentuh makanan. Sesetengahnya menganggap cara ini sukar dipraktikkan semasa
ketiadaan air. Walau bagaimanapun, pengendali makanan seperti surirumah atau
peniaga gerai makanan perlu memastikan agar setiap amalan kebersihan dipatuhi.
Pastikan bekalan air mencukupi sebelum menyediakan makanan walaupun cara ini memerlukan lebih masa dan tenaga.
Amat penting tidak
berkuku panjang dan kotor serta elakkan diri dari mengendali makanan jika
terdapat penyakit kulit seperti bisul, kudis dan luka yang bernanah di tangan.
Penyakit kulit seperti ini membawa bakteria yang boleh mencemarkan makanan.
Pastikan dapur sentiasa bersih
Pastikan alat-alat
memasak dan dapur seperti kain pengelap, papan cincang, pisau dan sebagainya
dicuci bersih setiap kali selepas digunakan serta disimpan di tempat yang
bersih dan tidak digunakan untuk tujuan lain.
Penyakit bawaan
makanan adalah penyakit yang biasa menyerang orang ramai. Walau bagaimanapun, ia dapat dielakkan dan dikawal sekiranya
semua pihak memainkan peranan masingmasing untuk melindungi makanan yang
dimakan dari tercemar.
No comments:
Post a Comment